Minggu, 19 Desember 2010

Pembetulan Kisah Umar al-Khattab r.a
On 26/02/2008, in Cabaran Islam, by Abu Saif | 6,676 views | Print Print | Email Email |

017.jpg

Di dalam artikel SOKONG ISLAM ATAU MUSLIM, saya telah memasukkan kisah Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu mengadili kes seorang lelaki Qibti Mesir dan Muhammad, anak kepada Gabenor ‘Amru bin al-’Aas radhiyallahu ‘anhu.

Kisah tersebut tersimpul dengan ucapan Umar yang terkenal iaitu:

ahrara.JPG
Wahai Amru, bagaimana kamu boleh memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu-ibu mereka bebas merdeka!”

Kisah itu merupakan kisah yang sangat masyhur. Dan saya memetiknya dari karangan Sheikh ‘Aid al-Qarni dan kebetulan, kitab Futuh al-Misr wa Akhbaruha oleh Ibn Abd al-Hakam telah dibahaskan di dalam kelas subjek Islam in Sub Saharan Africa di dalam pengajian saya di UIAM.

Beberapa persoalan telah timbul, berikutan daripada kemusykilan buku-buku tentang sejarah Afrika. Proses menyaring kitab seperti Futuh al-Misr ini, begitu juga dengan buku seperti Rehlah Ibn Bathutah, adalah amat sulit. Pelbagai cabang disiplin diperlukan untuk menyaringnya. Kombinasi di antara disiplin jarh wa ta’dil di dalam ilmu hadith, serta ahli bahasa Arab dalam menilai ketulenan lafaz… berguna untuk menapisnya.

Hasil kombinasi latar belakang kami di dalam kelas yang terdahulunya merupakan pelajar Syariah dan Hadith, diskusi telah diadakan. Kami akhirnya sampai kepada kesimpulan bahawa riwayat yang masyhur tentang kisah Umar di atas, adalah MUNKAR.

Kemusykilan tentang kisah tersebut melibatkan kualiti sanad, kesahihan isi kandungan teks yang bertentangan dengan beberapa prinsip Islam, justeru saya mengambil langkah untuk menarik balik kisah tersebut dari artikel berkenaan.

Namun ia tidaklah menjejaskan maksud asal artikel tersebut, bahawa Islam menjunjung prinsip keadilan tanpa mengira sama ada seseorang itu Muslim atau pun tidak.

KESULITAN

Hal ini menjadi satu bukti yang penting betapa usaha memurnikan sejarah Islam, bukanlah suatu agenda yang mudah. Seandainya ada dari kalangan pembaca yang mempunyai maklumat berguna yang boleh digunakan untuk memperbaiki hal ini, janganlah teragak-agak memaklumkannya kepada saya.

Kita harus saling bekerjasama untuk membantu di antara satu sama lain dan kesilapan seperti kesilapan saya ini, jangan terus dianggap sebagai menghina sahabat Rasulullah SAW. Naudhubillah min dhaalik.

Menyengajakan suatu kebatilan adalah terlalu jauh bezanya dengan kesilapan yang boleh menimpa sesiapa sahaja dari kalangan kita.

Kepada Allah jua saya mohon keampunan, semoga pembetulan ini tidak menjejaskan tumpuan kita kepada tanggungjawab dan peranan masing-masing menjelang PRU akan datang.

“Seeru ‘ala barakatillah”


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor

Tidak ada komentar:

Posting Komentar