Minggu, 19 Desember 2010

Sains dan Pembinaan Budaya
27 September 2004
Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Pemahaman popular tentang sains selalu berkisar pada cerita-cerita kepintaran para saintis serta ´penemuan-penemuan´ mereka yang dirangkum dalam rumusan-rumusan dan bagaimana penemuan-penemuan tersebut merubah dunia ekonomi-material dan pada tahap tertentu, dunia sosial-simbolik di mana manusia berada.

Cerita-cerita tentang perkembangan sains selalu berfokus pada individu-individu seolah-olah gagasan-gagasan bijaksana daripada saintis tersebut datang begitu saja dari dalam ´kepala´ saintis itu sendiri dan muncul menjadi rumusan-rumusan matematik yang rumit - yang hanya boleh difahami oleh orang yang memiliki kebijaksanaan yang hebat.

Tanpa menolak peranan individu para saintis yang telah merubah dunia ini, tulisan ini mengajak pembaca untuk melihat sains dan pengetahuan yang dihasilkannya sebagai suatu proses budaya. Satu alasan kuat mengapa kita perlu melakukan penelaahan sains secara budaya adalah untuk melakukan demistifikasi sains yang terlalu ketat oleh dogma keilmiahannya seakan-akan ia senantiasa ´bebas nilai´.

Penyataan sains sebagai bebas nilai berimplikasi pada doktrin bahawa sains adalah neutral dan bersifat universal. Nutral dalam erti ia tidak berpihak kepada sesiapa pun dan bebas daripada pelbagai kepentingan ekonomi dan politik. Sejagat dalam erti ia berlaku di mana saja melewati batas geografi, sosial, budaya, ekonomi dan politik.

Tetapi di sebalik dua doktrin inilah sains moden melakukan hegemoni sistem pengetahuan secara global dan mematikan sistem pengetahuan lainnya yang selalu diklasifikasikan sebagai terkebelakang, tahayul, irasional dan kebodohan. Dalam tulisan ini, dua doktrin sains tersebut akan diperdebatkan.

Apakah sains? Dalam makna generiknya, sains selalu dikaitkan dengan usaha manusia untuk mencari dan menemukan tentang suatu fenomena. Cara mencari dan proses penemuan ini tidak lepas daripada proses interpretasi manusia terhadap fenomena tersebut. Daripada pemahaman inilah dibentuk suatusistem pengetahuan yang meliputi objek pengetahuan, kaedah dan model interpretasi.

Pada dasarnya, inti daripada suatu sistem pengetahuan adalah aktiviti representasi di mana pemerhati (saintis) menginterpretasi gejala-gejala alam yang kemudian dimodelkan ke dalam bahasa sains (dalam sains moden menggunakan model matematik). Satu hal yang perlu dititikberatkan ialah bahawa sesuatu onjek pengetahuan hanya lahir atau muncul melalui representasi.

Proses interpretasi dan representasi ini tidaklah terjadi begitu saja secara objektif di mana saintis dengan serta-merta ´menemukan´ sesuatu seakan-akan objek pengetahuan itu sudah ada sebelumnya. Objek pengetahuan itu adalah hasil pembinaan interpretatif saintis melalui bahasa, sementara bahasa itu sendiri memiliki keterbatasan.

Objek pengetahuan itu menjadi seakan-akan nyata kerana ia berhubung langsung dengan sesuatu yang sifatnya konkrit di mana metodologi ilmiah (logik-empirisme) memungkinkan terjadinya perulangan realiti (regulariti) melalui amal simulasi, manipulasi dan kawalan.

Berdasarkan daripada pemahahaman ini, mari kita melihat ke penjelasan teoritis tentang pembinaan budaya sains oleh Timothy Lenoir yang merupakan dasar terhadap sosiologi sains yang dikembangkan oleh Robert Merton dan Joseph Ben-David.

Secara kasar, sosiologi sains versi Merton dan Ben-David berlandaskan pada dua gagasan. Pertama adalah realisme, iaitu keyakinan bahawa kita berada dalam dunia yang dipenuhioleh objek-objek nyata dan kebenaran yang dibangunkan oleh sains memiliki hubungan langsung dengan realiti dunia ini.

Kedua adalah objektif, iaitu keyakinan bahawa fakta-fakta objektif mengenai realiti dunia itu hadir dan bebas daripada interpretasi manusia (independent reality). Daripada pemahaman terhadap dua gagasan ini, Merton dan Ben-David mengatakan bahawa proses sains sebagai proses akumulatif dan tumbuh secara terus menerus dalam mencari kebenaran secara linear.

Selain itu, pengetahuan yang dihasilkan oleh sains, bebas dari konteks produksi dan keadaan reproduksi dan pengedarannya. Bagi Lenoir, ketiadaan kepentingan (disinterestedness) dan autonomi (autonomy) sains seperti yang dilontarkan oleh Merton dan Ben-David sukar diterima. Kedua-dua gagasan itu tidak lebih daripada idealisasi yang secara artifisial diberikan kepada individu yang berkaitan dengan proses pembinaan pengetahuan.

Menentang konsep Merton dan Ben-David, menurut Lenoir, pengetahuan yang dihasilkan oleh sains selalu berkait rapat dengan keadaan di mana ia berada, serta bersifat lokal. Ini didasarkan pada kenyataan bahawa proses pembinaan pengetahuan amat dipengaruhi oleh hubungan yang kuat antara objek pengetahuan dengan pemerhati (saintis).

Bagi Lenoir, seperti yang dijelaskan di atas, pengetahuan adalah suatu bentuk interpretrasi yang melibatkan ikatan terhadap dunia yang bersifat sementara, bukan proses kontemplatif yang bebas daripada pelbagai konteks. Dengan demikian adalah logik jika kita katakan bahawa pengetahuan sudah tentu sarat dengan pelbagai kepentingan.

Untuk menjelaskan bagaimana pengetahuan terkandung dengan kepentingan-kepentingan, Lenoir menyarakankan kita untuk melihat produksi pengetahuan sebagai suatu praktikal budaya. Dalam proses pengetahuan, saintis tidak pernah bebas daripada dua faktor yang melingkunginya, iaitu kognitif dan sosial sebagai konsekuensi daripada kewujudannya sebagai manusia berfikir dan berinteraksi.

Faktor kognitif dan faktor sosial inilah yang mempengaruhi secara kuat proses interpretasi saintis terhadap sesuatu objek pengetahuan. Melalui faktor kognitif, saintis melakukan pemerhatian terhadap sesuatu objek secara interpretatif.

Manakala dalam faktor sosial, saintis selalu berhubung dengan kerangka sosial ekonomi di mana dia berada. Daripada dua faktor ini, Lenoir membuat kesimpulan bahawa pembinaan pengetahuan dapat dikatakan sebagai suatu usaha untuk menjelmakan suatu versi realiti yang diterima oleh kelompok sosial di mana saintis itu berada.

Daripada analisis pembinaan pengetahuan secara mikro, Lenoir melanjutkan analisisnya ke peringkat makro. Pada tahap ini, Lenoir menunjukkan bagaimana perkembangan sains dikelilingi oleh kepentingan-kepentingan sosial, ekonomi dan politik secara lebih luas.

Dalam analisis ini, sains mengalami fragmentasi terhadap pelbagai disiplin yang saling berhadapan satu sama lainnya. Setiap disiplin (fizik partikel, biologi molekul, kimia organik, dan sebagainya) memiliki sistem logik dan model institusi serta struktur kekuasaan masing-masing. Di sini Lenoir melihat hubungan antara kekuasaan dengan pengetahuan yang terkandung dalam disiplin tersebut.

Tetapi struktur kekuasaan disiplin-disiplin tersebut tidaklah mutlak, tetapi ´tunduk´ kepada kekuasaan yang lebih besar, iaitu kekuasaan ekonomi dan politik. Dan di sinilah terletaknya seluruh agenda sains (seolah-olah) atas nama kebenaran ilmiah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar